KERANA harta, manusia sanggup berbuat apa sahaja termasuk membunuh ahli keluarga sendiri! Begitulah kisah yang berlaku di sebuah perkampungan di Trung Hoa, wilayah Hung Yen, Vietnam di mana tiga beradik perempuan sanggup membakar rumah yang didiami mereka sekeluarga hanya kerana mahu membunuh si ibu kandung. Dalam kejadian yang berlaku pada 30 Oktober itu, tiga beradik perempuan berkenaan membawa satu tin petrol mengandungi kira-kira empat hingga lima liter untuk dituangkan ke lantai rumah ibu mereka, sebelum menyalakan api. Akibat tindakan agresif itu, ketiga-tiga suspek turut cedera sementara ibu mereka yang melecur di tangan dan rambut dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Difahamkan, mangsa yang berusia 61 tahun mempunyai tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki, di mana semuanya sudah berkahwin. Mangsa mempunyai beberapa bidang tanah di kampung tersebut tetapi ketiga-tiga anak perempuannya (suspek) dikatakan tidak menerima pembahagian harta masing-masing. Hal tersebut secara tidak langsung menimbulkan rasa tidak puas hati ketiga-tiga anak perempuannya. Pihak polis telah melakukan pemeriksaan dan siasatan di lokasi kejadian untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya. - Vietnam.posten Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI