suria

[V] Cuaca buruk jadi punca, pesawat Tanzania terhempas dalam Tasik Victoria... 19 individu terkorban

19 individu terkorban dalam nahas pesawat itu.

SEBUAH pesawat komersial Tanzania yang dikendalikan oleh Precision Air terhempas dalam cuaca buruk di Tasik Victoria pada Ahad, mengorbankan 19 nyawa.

Perdana Menteri negara itu, Kassim Majaliwa, berkata pegawai percaya semua mayat telah ditemui dari pesawat itu.

“Kami mula mengeluarkan bagasi dan barangan peribadi dari pesawat. Sepasukan doktor dan agensi keselamatan telah memulakan proses mengenal pasti mayat dan memaklumkan kepada keluarga,” kata Majaliwa.

Syarikat penerbangan itu mengesahkan jumlah kematian dan meminda jumlah mangsa yang terselamat turun kepada 24 orang dalam kenyataan dikemas kini pada petang Ahad.

Terdahulu, syarikat penerbangan itu serta pegawai tempatan berkata bahawa 26 daripada 43 orang di dalamnya telah diselamatkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat terhempas dekat apartment akibatkan semua maut, penduduk rasa rumah bergegar

“Precision Air menyampaikan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga dan rakan penumpang dan anak kapal yang terlibat dalam insiden tragis ini. Syarikat akan berusaha untuk memberikan maklumat dan apa sahaja bantuan yang mereka perlukan dalam masa sukar ini,” kata syarikat penerbangan itu.

Nama penumpang dan anak kapal di dalam pesawat itu tidak akan dikeluarkan sehingga semua waris dimaklumkan, tambah kenyataan itu lagi.

Penerbangan itu, termasuk 39 penumpang dan empat anak kapal, telah berlepas dari ibu kota komersial Tanzania Dar es Salaam dan menuju ke bandar Bukoba sebelum terhempas ke Tasik Victoria ketika ia sedang bersiap untuk mendarat. - CNN.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain