SATU virus yang menyerupai Covid-19 dikesan pada kelawar di selatan China dengan pakar-pakar perubatan menyuarakan kebimbangan ia boleh menjangkiti manusia. Virus yang dikenali sebagai BtSY2 itu mempunyai kaitan dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk 2 (SARS-CoV-2) yang menjadi punca kepada wabak Covid-19 dan telah membunuh lebih enam juta orang di seluruh dunia selepas ia 'meletus' di China pada tahun 2019. Virus baru itu adalah satu daripada lima jenis 'virus yang dibimbangi' yang ditemui pada kelawar di wilayah Yunnan dan berkemungkinan menjadi patogen kepada manusia atau haiwan ternakan, ujar saintis. Penyelidikan mengenai penemuan yang membimbangkan itu diketuai oleh pakar-pakar di Universiti Sun Yat-sen, Institut Kawalan Penyakit Endemik Yunnan dan Universiti Sydney. "Kami mengenal pasti lima spesies virus yang berkemungkinan menjadi patogenik kepada manusia atau ternakan termasuk virus korona penggabungan semula seperti SARS yang berkait rapat dengan kedua-dua SARS-CoV-2 dan 50 SARS-CoV. "Kajian kami menyorot kejadian biasa tentang penghantaran antara spesies dan jangkitan bersama virus kelawar serta implikasinya terhadap kemunculan virus tersebut," kata kertas kajian tersebut. Wilayah Yunnan telah dikenal pasti sebagai tempat tumpuan spesies kelawar dan virus yang dibawa oleh haiwan itu. Covid-19 pertama kali muncul di wilayah Wuhan China, di mana kes pertama dikenal pasti pada Disember 2019 dan merebak pantas ke seluruh dunia seterusnya menjadi pandemik. - Dailystar Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI