suria

Tahan sakit! Nenek usia 93 tahun tanggung derita terlantar di lantai, tunggu ambulans 25 jam

Elizabeth menunggu ketibaan ambulans selama lebih 24 jam. foto Daily Post Wales

SEORANG wanita warga emas terpaksa menderita kesakitan selama lebih 25 jam sementara menunggu ketibaan ambulans.

Elizabeth Davies, 93, mengalami patah pinggul di sebuah rumah jagaan di Semenanjung Llŷn di barat laut Wales, pada Sabtu.

Kakitangan berkata, mereka mendengar bunyi hentakan pada kira-kira pukul 11:45 pagi dan mendapati Elizabeth, seorang penghuni selama 17 tahun, tergelincir di lantai kayu.

Menurut laporan NorthWalesLive, petugas memberitahu bahawa ambulans tidak dapat datang selama enam hingga lapan jam.

Elizabeth dibawa ke Ysbyty Gwynedd, Bangor, di mana dia kemudian terpaksa menunggu lagi selama 12 jam sebelum dimasukkan ke wad.

Seorang warga emas terlantar di atas lantai sementara menunggu ketibaan ambulans. foto Daily Post Wales

Elizabeth terlantar di lantai sementara menunggu ketibaan ambulans. foto Daily Post Wales

Dia sudah pun menjalani pembedahan selepas doktor mengenal pasti tahap kecederaannya.

"Sangat mengecewakan apabila melihat dia terbaring di lantai menahan kesakitan selama lebih 24 jam," kata anak lelaki Elizabeth, Ian dan menantunya, Susan dari Pwllheli.

"Mereka beritahu ibu saya akan menjadi keutamaan kerana usianya. Rumah jagaan kemudian menghubungi kami dan kami segera datang," tambahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ambulans lambat sampai, mangsa kemalangan dihantar ke hospital dengan jengkaut

Sementara menunggu ketibaan ambulans, pekerja rumah jagaan meletakkan bantal kepala Elizabeth dan meletakkan pemanas kecil di sebelah untuk memastikanya tidak berada dalam keadaan sejuk.

Pad penyerap juga dipakaikan berikutan Elizabeth tidak dapat menggunakan tandas.

Ambulans tiba pukul 1.15 tengah hari Ahad, kira-kira 25 jam dan 30 minit selepas insiden Elizabeth terjatuh.

"Saya tidak menyalahkan kakitangan ambulans kerana mereka diberitahu pekerjaan yang perlu dilakukan dan ibu saya tiada dalam senarai.

"Tetapi saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku, ia tidak boleh diterima," ujar Ian.

Sementara itu, pengurus perkhidmatan untuk Perkhidmatan Ambulans Welsh (WAS) di Wales Utara, Stephen Sheldon, memohon maaf atas kelewatan itu.

"Tekanan musim sejuk ditambah dengan lonjakan permintaan, kakitangan sakit dan tekanan sistem yang lebih luas di seluruh NHS Wales menjejaskan keupayaan kami untuk bertindak balas.

"Kelewatan penyerahan hospital yang meluas telah didokumenkan dengan baik dan menyebabkan beberapa pesakit menunggu sangat lama," katanya. - Metro UK

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain