SEORANG lelaki berusia 45 tahun terkorban selepas terjatuh ketika mengambil swafoto sambil bersandar pada kereta api yang sedang bergerak. Polis mengesahkan, Patrick Ward, yang dilahirkan di New Zealand dan juga warga Ireland, meninggal dunia pada Selasa ketika sedang bercuti di Thailand. Sebelum kejadian, Ward difahamkan sedang dalam perjalanan dari Bangkok ke bandar Kanchanaburi, di mana terletaknya jambatan merentasi Sungai Kwai bersama sekumpulan pelancong yang lain. Pasukan kecemasan menggunakan sistem takal untuk turun ke tempat Ward terjatuh. Jalan kereta api yang menghubungkan Thailand ke Myanmar itu terkenal kerana dibina oleh buruh paksa semasa pendudukan Jepun dalam Perang Dunia kedua dan dikenali sebagai ‘rel kereta api maut’. Menurut polis tempatan, kereta api itu perlahan-lahan menghampiri air terjun Sai Yok yang merupakan sebuah destinasi popular dalam kalangan pelancong, apabila saksi melaporkan bahawa Ward membuka pintu gerabak dan kemudian jatuh pada kedalaman kira-kira lapan meter di cerun di belakangnya. Apabila pasukan kecemasan tiba, mereka menggunakan sistem takal untuk turun di tempat Ward jatuh, tetapi dia hampir tidak bernafas, leher dan tangannya juga patah apabila mereka mencapainya. ARTIKEL BERKAITAN: Landasan Hatyai-Padang Besar dibom, perkhidmatan kereta api dihentikan seketika Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia walaupun percubaan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dilakukan selama setengah jam. Mejar Polis Sai Yok, Kiatisak Kerdchok berkata bedah siasat penuh dijalankan di Bangkok dan sekumpulan pelancong yang bersama Ward juga akan disoal siasat. Pihak berkuasa juga melaporkan bahawa mereka sedang menghubungi kedutaan New Zealand di Thailand untuk proses pengebumian. – Daily Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI