suria

Empat maut, tiga parah selepas 2 helikopter bertembung berhampiran pantai di Gold Coast

Keadaan salah sebuah helikopter yang terhempas selepas pertembungan. Foto: AAP

DUA buah helikopter bertembung di udara berhampiran Main Beach di Gold Coast, Australia, pada petang Isnin.

Pertembungan tersebut menyebabkan empat mangsa maut, manakala tiga yang lain cedera parah.

Pemangku Inspektor Gary Worrell mengesahkan helikopter itu bertembung di udara, tidak jauh dari taman tema Sea World.

Ujarnya, orang awam yang sedang berada di pantai segera membantu mangsa sebelum pasukan paramedik dan polis tiba di tempat kejadian.

Sementara itu, kakitangan Perkhidmatan Ambulans Queensland (QAS), Jayney Shearman berkata, pihaknya memberi bantuan perubatan kepada 13 mangsa dari kedua-dua buah helikopter.

"Terdapat tiga mangsa kritikal dan enam mangsa dengan kecederaan ringan yang kesemuanya dihantar ke hospital," katanya.

Seorang pengunjung Sea World berkata mereka melihat 'salah satu helikopter dalam keadaan berpusing dengan tingkap kokpit terjatuh selepas terkena hentaman'.

"Kami mendengar bunyi yang kuat dan melihat serpihan berterbangan," kata saksi lain pula.

Insiden malang itu kini dalam siasatan pihak polis. - 7news.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain