MAHKAMAH Agung menolak rayuan terhadap hukuman mati yang dikenakan ke atas seorang guru agama yang didapati bersalah merogol 13 pelajar di sebuah sekolah yayasan diketuainya. Herry Wirawan, 36, menghamilkan sekurang-kurangnya lapan pelajar antara 2016 dan 2021 di sekolah agama berasrama penuh yang diusahakannya untuk kanak-kanak dari golongan kurang berkemampuan. Lapan mangsa Herry merupakan kanak-kanak bawah umur. Menurut mahkamah, kebanyakan mangsanya melahirkan bayi ketika masih bersekolah dan disuruh meminta derma apabila besar. Mahkamah Tinggi Bandung pada April tahun lalu telah memutuskan Henry untuk dijatuhi hukuman mati selepas pendakwa memfailkan rayuan terhadap hukuman penjara seumur hidup di mahkamah rendah. Pada Ogos, Herry menghantar rayuan kepada Mahkamah Agung dengan harapan keputusan Mahkamah Tinggi Bandung dapat dibatalkan tetapi ditolak oleh badan kehakiman tertinggi negara itu. Keputusan Mahkamah Agung itu dibuat pada Disember oleh barisan kehakiman yang diketuai oleh Ketua Hakim Sri Murwahyuni. Mahkamah Agung juga meneruskan keputusan Mahkamah Tinggi Bandung yang memerlukan Herry untuk membayar 300 juta Rupiah (RM84,000) sebagai bayaran ganti rugi kepada mangsa. Selain itu, aset Herry juga akan dibekukan dan dilelong, hasil lelongan akan digunakan untuk membantu kewangan mangsa dan juga anak mereka. Penderaan dan eksploitasi seks Herry terbongkar apabila keluarga salah seorang mangsa membuat laporan kepada pihak polis pada hujung tahun 2021 sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Indonesia. Walaupun begitu, hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Herry juga menerima reaksi yang bercampur-campur. Menteri Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak, Bintang Puspayoga menerima dengan tangan terbuka keputusan Mahkamah Agung untuk meneruskan hukuman mati ke atas Herry. Keputusan itu akan menunjukkan Indonesia tidak bertoleransi ke atas penderaan seksual. "Saya tekankan di sini, setiap kes penderaan seksual walaupun siapa pelakunya tidak boleh ditunjukkan toleransi. Pelaku penderaan seksual dalam apa jua bentuk perlu dibawa ke muka pengadilan," katanya. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI