suria

Tiga hari hilang, 2 remaja perempuan akhirnya ditemui 1,200km dari rumah... rupanya ‘plan’ ke Korea Selatan nak jumpa BTS!

Dua remaja berkenaan merupakan peminat tegar kumpulan K-pop BTS.

DUA remaja perempuan nekad melarikan diri dari rumah mereka yang terletak di Karachi, Pakistan semata-mata mahu ke Korea Selatan untuk bertemu dengan kumpulan K-pop BTS.

Remaja berusia 13 dan 14 tahun yang dilaporkan hilang itu berjaya ditemui polis di Lahore, kira-kira 1,200 kilometer dari rumah mereka, pada Selasa.

Kedua-dua remaja tersebut yang merupakan peminat BTS, telah dilaporkan hilang dari rumah pada Sabtu, kata pegawai kanan polis, Abraiz Ali Abbasi.

Semasa menjalankan siasatan di rumah mereka, polis menemui sebuah diari yang mengandungi rancangan untuk pergi ke Korea Selatan demi bertemu BTS, kata Abraiz dalam satu laporan.

"Daripada diari itu, kami melihat catatan mengenai jadual perjalanan kereta api dan mereka telah merancang untuk melarikan diri dengan seorang lagi rakan yang kami soal siasat kemudiannya," kata Abassi.

"Polis mula menjejaki mereka secara agresif dan mendapati remaja berkenaan berada dalam tahanan polis di bandar Lahore, di mana mereka telah mengembara dengan kereta api," ujarnya.

Remaja berkenaan akan dibawa pulang ke rumah mereka di Karachi dan pihak polis sudah melakukan pengaturan bagi urusan berkenaan. - Hindustanitimes.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain