TULAR di media sosial baru-baru ini video yang memaparkan seekor buaya 'menghantar' jasad seorang kanak-kanak yang lemas ke pangkuan keluarga mangsa. Menerusi video tersebut, kelihatan buaya berkenaan 'mengiringi' mayat kanak-kanak malang itu ke pinggir sungai, sebelum diangkat oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke atas bot. Kanak-kanak yang dikenali sebagai Muhammad Ziyad Wijaya, 4, dipercayai hilang di perairan kawasan Muara Jawa, Kalimantan Timur di Indonesia. Difahamkan, kali terakhir mangsa dilihat sedang bermain di sekitar sungai yang terletak di belakang rumahnya pada 18 Januari lalu. Bagaimanapun, kelibat mangsa kemudiannya tidak kelihatan, sebaliknya hanya mainan yang berada di lokasi kejadian. Ahli keluarga mangsa cuba melakukan pencarian namun tidak berjaya sehinggalah mereka melihat seekor buaya berenang sambil membawa satu mayat manusia ke pinggiran. Ternyata, jasad tersebut adalah kanak-kanak malang yang hilang sejak beberapa hari lalu. Ajaibnya, mayat mangsa kelihatan 'sempurna' dan tidak mempunyai sebarang kesan luka atau bekas gigitan. Kejadian aneh itu menjadi bualan netizen di media sosial dengan rata-ratanya melahirkan rasa kagum dengan kuasa Tuhan. - Regionalkompas.com Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube