IBARAT drama di kaca televisyen, namun itulah hakikat yang berlaku di mana seorang wanita terpaksa menahan rasa sedih ketika menghadiri perkahwinan bekas teman lelakinya bersama kakak kandungnya sendiri. Menerusi video yang dimuat naik dalam akaun TikTok @jodohnya57k, wanita berbaju rona ungu muda itu mengaku tidak dapat menahan rasa sedih saat menyaksikan detik ijab kabul dan majlis perkahwinan tersebut. "Kejutan awal tahun 2023, teman lelaki saya menjadi suami kepada kakak kandung saya sendiri. Saya tidak membenci, saya tidak marah dan tidak menyimpan dendam tetapi saya mahu menjerit di tengah-tengah orang ramai. "Saya belum bersedia dan saya tidak cukup kuat untuk menerima kenyataan pahit ini, saya lemah," demikian tulisnya dalam video tersebut. Dalam video berdurasi 13 saat itu, wanita tersebut juga mendakwa tiada seorang pun dalam kalangan keluarganya yang memahami perasaannya. "Saya percaya tentang jodoh tapi bolehkah bukan secepat ini, misalnya beri saya waktu sebentar untuk kuatkan diri. "Atau setidaknya daripada pihak keluarga yang mengerti perasaan saya, fahami sedikit rasa sakit ini. Tidak akan lama tapi saya tidak bisa ubati luka sendiri. Peluk saya, kuatkan saya... kalian seperti sengaja biar saya sedih bersendirian," luahnya lagi. Difahamkan, kisah berkenaan berlaku di Indonesia. Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat buat wanita berkenaan. "Allah sedang mempersiapkan yang lebih baik untuk kamu. "Semoga mendapat pengganti yang lebih baik. Moga Allah membalas kesedihanmu dengan kebahagiaan. "Kamu dipilih oleh Tuhan untuk menjadi orang yang kuat," demikian komen netizen. - Wolipop Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube