BERKHATAN atau sunat sering menjadi perkara ‘menyeramkan’ bagi ramai kanak-kanak lelaki. Perkara sama dirasai individu ini kira-kira 25 tahun lalu apabila dia begitu takut untuk dikhatankan hingga nekad melarikan diri dari rumah tanpa khabar berita. Namun tanpa diduga, ketika usianya memasuki 28 tahun, dia kembali ke pangkuan keluarga. Difahamkan dia melarikan diri sejak usia tujuh tahun. Kepulangannya mengejutkan keluarga dan penduduk di Kecamatan Polanharjo, Indonesia. Sepanjang kehilangan itu selama lebih dua dekad, keluarga cuba menjejakinya namun gagal. Akhirnya hasil bantuan sekumpulan YouTuber dan pihak berkuasa, lelaki itu ditemui di wilayah Bantul, Jogjakarta. Tahap fizikal dan psikologi jejaka berkenaan dilaporkan dalam keadaan sihat, cuma difahamkan dia mengalami sedikit trauma sahaja. Ketika ditanya, abang kandung lelaki tersebut memberitahu adiknya itu telah menghilang sejak tahun 1998. Mengimbas kembali kejadian 25 tahun lalu, adiknya dikatakan berani pada malam sebelum bersunat, bagaimanapun dia gagal ditemui pada pagi berikutnya. Keluarganya menyangka bahawa lelaki itu sudah meninggal dunia kerana tiada sebarang khabar berita tentangnya selama dia meninggalkan rumah. - Suara Merdeka Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube