suria

Staf HR Google sedar dipecat ketika sedang temuduga calon berpotensi, talian diputuskan tiba-tiba

Google memberhentikan pekerjanya secara besar-besaran, memberi kesan kepada 12,000 individu

LANGKAH Google memberhentikan pekerjanya secara besar-besaran memberi kesan kepada 12,000 individu.

Beberapa pekerja yang terjejas mendedahkan bahawa langkah ini adalah di luar jangkaan dan berlaku secara tiba-tiba.

Seorang pekerja memberitahu dia mendapat tahu dirinya dipecat apabila tidak dapat mengakses akaunnya.

Situasi sama berlaku kepada seorang perekrut Google yang sedang menjalankan temuduga dengan calon staf dan panggilan diputuskan secara tiba-tiba.

Google sangat berhati-hati dalam langkah ini sehingga staf di bahagian pengambilan dan sumber manusia (HR) juga tidak tahu tentang langkah mengejutkan syarikat itu.

Dan Lanigan-Ryan, yang bekerja sebagai perekrut di Google memberitahu Business Insider bahawa taliannya diputuskan semasa dia sedang membuat panggilan dengan calon berpotensi.

Dia cuba log masuk ke laman web dalaman syarikat semasa panggilan dibuat tetapi gagal.

Bagaimanapun bukan dia seorang dalam pasukannya menghadapi masalah itu. Rakan sekerja lain juga mengadu mereka telah log keluar dari sistem secara tiba-tiba.

Pengurus mereka cuba menenangkan keadaan sebagai isu teknikal sehingga mereka dimaklumkan tentang pemberhentian melalui e-mel.

google1

Ketua Pegawai Eksekutif, Sundar Pichai berjanji untuk membayar pakej pemecatan kepada semua pekerja yang terjejas.

Ryan berkata sejurus kehilangan akses ke laman web syarikat, e-mel dan panggilan dengan calonnya turut disekat.

"Hanya itu saja. Saya telah disekat daripada segala-galanya.

"Kira-kira 15 ke 20 minit kemudian saya tengok berita bahawa Google mengumumkan 12,000 pemberhentian," kata Ryan mengimbas situasi pada Jumaat lalu.

Ryan juga membuat coretan panjang di Linkedin mengenai pemberhentiannya.

Dia mendedahkan Google adalah syarikat impiannya dan mendapat tawaran kerja setahun lalu.

Bagaimanapun, kegembiraannya tidak lama kerana setahun kemudian dia terjejas dalam langkah pemberhentian staf oleh Google.

"Saya tak jangka ia akan berakhir begitu mendadak, disekat dari sistem ketika sedang membuat panggilan.

"Kontrak saya baru saja dilanjutkan selama setahun dan saya dipindahkan ke team pengambilan Cloud Sales (bidang yang menyaksikan pertumbuhan besar-besaran) dan hanya seminggu yang lalu ada cakap-cakap tentang kenaikan gaji," tulis Ryan di Linkedin.

Google memberhentikan 12,000 pekerjanya di seluruh jabatan. Ketua Pegawai Eksekutif, Sundar Pichai bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemberhentian ini dan berjanji untuk membayar pakej pemecatan kepada semua pekerja yang terjejas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain