POLIS masih cuba membongkar misteri pembunuhan Leah Croucher dengan suspek utama mereka, Neil Maxwell, mungkin telah menyamar untuk mengelak dari dikenali ketika sekitar masa kematian Leah. Mereka hari ini telah mengeluarkan pengimejan komputer baharu Maxwell sekitar masa kehilangan Leah. Leah dilaporkan hilang dalam perjalanan ke tempat kerja di Milton Keynes, Britain pada 15 Februari 2019. Pada Oktober tahun lalu, tiga tahun selepas kehilangannya, seorang kontraktor yang bekerja di loteng sebuah rumah menemui mayat manusia tidak jauh dari tempat kali terakhir remaja berusia 19 tahun itu dilihat. Jasad itu kemudiannya disahkan sebagai milik Leah. Siasatan pembunuhan dilancarkan oleh pihak berkuasa tempatan dengan Neil Maxwell yang berusia 49 tahun sebagai suspek utama. Walaupun begitu, pesalah seks dan perogol yang disyaki menjadi dalang kehilangan Leah itu telah membunuh dirinya pada 20 April 2019 hanya beberapa bulan selepas penculikan Leah. Kini polis cuba untuk mengaitkan Maxwell secara muktamad dengan kes pembunuhan itu untuk memberi penutup kepada ahli keluarga Leah. Setakat ini pihak polis tidak menemui seorang pun yang pernah melihat Maxwell di kawasan sekitar atau jalan raya semasa kehilangan Leah. "Siasatan kini mendapati bahawa Maxwell berkemungkinan mengubah penampilannya untuk mengelak daripada dikenali. "Dia telah membela janggut dan mungkin telah menghilangkan berat badan," kata Ketua Detektif Superintendan Ian Hunter. - Daily Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube