BEKAS pekerja kilang sanggup bergolok-gadai untuk membeli menara tangki air terbiar sebelum mengubahnya menjadi hartanah tiga tingkat yang mewah dan bernilai tinggi. Robert Hunt mengambil masa dua tahun setengah untuk mengubah menara tangki itu menjadi rumah empat bilik tidur dengan bantuan seorang arkitek dan rakan kontraktornya, pada Disember 2019. Hunt berkata, dia membelanjakan 750,000 pound sterling (RM3,476,045.78) untuk projek itu termasuk kos membeli hartanah itu yang terletak di Cloverly Cross, pada November 2019. Katanya, dia tertarik membeli hartanah itu kerana lokasinya tidak jauh dari tempat tinggalnya selain harganya sangat berpatutan dan berbaloi untuk pelaburan. "Menara air itu terbiar selama bertahun-tahun sejak operasinya ditamatkan pada awal 2000 dan hanya mengandungi ruang besar dan kosong tanpa bilik, dinding dalaman mahupun tingkap. "Apabila saya mula-mula melihatnya, sukar untuk digambarkan kerana tiada tangga, tetapi kita perlu menaiki tangga di tengah-tengah menara untuk sampai ke bahagian atas tangki. "Saya juga sanggup menjual rumah dan berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuh masa untuk membantu menyiapkan projek ini," katanya seperti dilaporkan portal Insider. Menurutnya, menara itu dilapisi warna hitam dan bahagian bawah depan rumah dan hiasan dalaman dicat dengan warna putih. Dia menetap di rumah itu sejak Mei lalu dan merancang untuk menjual hartanah itu tahun depan dengan nilai lebih dua juta pound sterling (kira-kira RM9.27 juta). "Rumah ini dianggarkan bernilai lebih 1.8 juta pound sterling (kira-kira RM8.34 juta) oleh dua ejen hartanah, namun saya tidak mahu menjualnya kurang daripada dua juta pound sterling. "Saya mahu menggunakan keuntungan daripada penjualan rumah ini untuk membayar balik wang ibu bapa yang saya pinjam ketika mengubah suai rumah ini. "Selain itu, saya mahu gunakan wang ini untuk memulakan projek baharu lain," katanya. - Insider Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube