suria

Bayi selamat dilahirkan di bawah runtuhan, tali pusat masih bersambung kepada ibu tidak bernyawa

Bayi ini selamat dilahirkan di bawah timbunan runtuhan. Foto: Agensi

SEORANG bayi perempuan yang dilahirkan di bawah runtuhan bangunan di Syria berjaya diselamatkan selepas hampir beberapa jam terperangkap.

Bayi itu selamat dilahirkan oleh ibunya di bawah timbunan runtuhan ketika gempa bumi sedang ganas melanda Syria dan negara jirannya, Turkiye.

Namun begitu, agak menyayat hati apabila bayi itu ditemui nyawa-nyawa ikan dengan tali pusatnya masih bersambung kepada ibunya yang sudah meninggal dunia.

Rakaman yang dikongsikan di media sosial menunjukkan bayi itu dilitupi habuk dan kotoran ketika diangkat keluar dari runtuhan bangunan yang musnah sepenuhnya akibat dari gempa bumi yang membinasakan.

Menurut laporan Agence France-Presse (AFP), bayi itu merupakan satu-satunya ahli keluarga berkenaan yang terselamat dalam runtuhan bangunan tersebut di sebuah pekan kecil, Jinderis, bersebelahan sempadan Turki.

Susulan penemuan bayi itu, seorang wanita yang merupakan jiran keluarga terbabit membantu memotong tali pusat bayi tersebut.

Bayi itu kemudiannya dikejarkan ke hospital kanak-kanak di pekan Afrin di mana dia diletakkan di dalam sebuah inkubator untuk membantu menstabilkannya kerana keadaannya yang masih lemah.

Menurut pakar perubatan di hospital tersebut, Dr Hani Maarouf, suhu badan bayi itu berada pada tahap yang membimbangkan dan dia mempunyai beberapa luka di bahagian belakang.

Dr Maarouf berkata dia percaya bayi itu telah dilahirkan kira-kira tiga jam sebelum ditemui pasukan penyelamat memandangkan suhu badannya yang sejuk. - Independent UK

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain