SEORANG pemuda ditemui mati di dalam biliknya dengan keadaan sebelah tangan memegang telefon bimbit yang sedang dicas. Polis mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat terkena renjatan elektrik. Mayat pemuda yang dikenali sebagai Wanchai, 28, seorang jurukimpal, ditemui terbaring di dalam bilik sewanya yang terletak dalam sebuah bangunan dua tingkat, di daerah Thung Khru, Bangkok, Thailand, pada pagi Rabu lalu. Ketika pasukan polis tiba, kelihatan darah keluar dari mulut mangsa manakala tangan kanannya pula melecur. Tangan kanan Wanchai turut memegang telefon bimbit yang sedang dicas dan disambung pada kabel yang dipasang pada dinding. Polis percaya kabel sambungan yang rosak mengakibatkan litar pintas dan menyebabkan Wanchai terkena renjatan elektrik. Abang Wanchai, Somkuan, 50, memberitahu polis bahawa dia sempat singgah ke bilik adiknya pada malam sebelum kejadian, namun panggilannya tidak bersahut. Menyangka Wanchai keluar, Somkuan kemudian menjamu selera dan pergi ke tempat kerjanya semula. Dia sekali lagi pergi ke bilik Wanchai pada pukul 2 pagi namun panggilannya tidak bersahut, dan kembali semula pada pukul 6 pagi. Dek kerana panggilan dan ketukan pintu tidak dijawab, Somkuan bertindak memecahkan pintu bilik sewa tersebut sebelum menemui jasad Wanchai yang sudah tidak bernyawa di atas katil. Mayat Wanchai dihantar untuk bedah siasat menyeluruh di Institut Perubatan Forensik bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya. - Thaiger Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube