suria

Dua pelancong wanita bukan Islam timbulkan kemarahan gara-gara masuk Masjid Nabawi tanpa tudung... Rupanya tak sengaja

Kemasukan dua wanita bukan Islam itu di pekarangan masjid berlaku secara tidak sengaja. Foto: Shutterstock

SATU klip video menunjukkan kehadiran dua pelancong wanita di pekarangan Masjid Al-Nabawi tanpa memakai abaya atau tudung menimbulkan kemarahan pengguna laman sosial di Arab Saudi.

Menerusi video berkenaan, kelihatan dua pelancong wanita tersebut dihalang oleh seorang anggota keselamatan yang seperti sedang menerangkan sesuatu kepada mereka kerana pakaian yang dipakai tidak sesuai dan melanggar peraturan.

Tidak berapa lama kemudian, kelihatan dua pelancong berkenaan mengeluarkan helai kain daripada beg mereka dan tergesa-gesa menutup kepala.

Susulan insiden itu, Agensi Hal Ehwal Masjid Nabawi di Madinah menyatakan bahawa kemasukan dua wanita bukan Islam di pekarangan masjid dan memakai pakaian yang tidak sesuai, berlaku secara tidak sengaja.

Kenyataan itu dibuat sebagai tindak balas kepada apa yang tersebar di media sosial mengenai kejadian yang berlaku pada Selasa lalu.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pelancong tersebut menyatakan pemahaman mereka sepenuhnya tentang apa yang dijelaskan oleh anggota keselamatan mengenai keistimewaan Masjid Nabawi.

Mereka turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas layanan dan penjelasan yang baik. - Albawaba

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain