SEORANG wanita ditahan polis selepas penduduk setempat menuduhnya sebagai ahli sihir yang menyasarkan kucing sebagai korban. Yaowaluck Boonchum, dari Songkhla, Thailand, ditahan selepas pemilik seekor kucing Parsi mendakwa dia adalah dalang di sebalik kematian haiwan peliharaannya. Pemilik kucing bernama Garfield membuat aduan kepada Watchdog Thailand Foundation (WDF) pada 19 Februari lalu dan mendakwa Yaowaluck menculik kucingnya dan menjadikan haiwan itu sebagai korban. Dia turut memberitahu WDF bahawa jiran-jiran lain di kawasan itu percaya bahawa Yaowaluck adalah ahli sihir kerana pernah ternampak wanita tersebut melakukan tarian ritual yang aneh di rumahnya. Kucing-kucing liar di kawasan kejiranan itu juga hilang dan mereka percaya Yaowaluck adalah dalangnya. Beberapa penduduk mendakwa mereka juga pernah menyaksikan Yaowaluck mengikat kucing dan memukul haiwan itu sehingga mati. Pemilik Garfield turut berkata, sebaik menyedari kucingnya hilang, dia melakukan pencarian dan menemui beg sampah hitam di depan rumah Yaowaluck. Sebaik membuka plastik tersebut, ternyata bangkai Garfield berada di dalamnya. Dia berkata penduduk tempatan di kawasan itu tidak berani bersuara kerana takut kepada Yaowaluck. Yaowaluck kini ditahan di Balai Polis Muang Ngam untuk sisatan lanjut. - Thaiger Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube