SEORANG anak 'kantoi' bermain permainan video menggunakan telefon bimbitnya pada pukul 1 pagi sedangkan dia perlu ke sekolah keesokan pagi. Sebagai pengajaran, si bapa menghukum anaknya dengan memaksa untuk bermain permainan video itu tanpa henti. Kejadian berlaku di Shenzen, China, baru-baru ini. Bercakap kepada Metropolis Times, bapa berkenaan berang apabila mendapati anak lelakinya bermain permainan video apabila dia sepatutnya tidur pada ketika itu. Enggan marah, sebaliknya dia memberitahu anaknya supaya terus bermain dan tanpa perlu tidur, malah tidak perlu ke sekolah selama sehari bagi meneruskan permainan. Tindakan lelaki tersebut bertujuan untuk dijadikan sebagai pengajaran yang tidak akan dilupakan anaknya. ARTIKEL BERKAITAN: Anak pembuli, bapa hukum jalan kaki 8km ke sekolah Pada awalnya, si anak dilaporkan seronok dengan hukuman 'luar biasa' itu, dan terus bermain menerusi telefon bimbit, di bawah pengawasan bapanya sepanjang malam. Pada pukul 7 pagi, anaknya mula berasa mengantuk dan cuba meletakkan telefon sebelum ke katil untuk tidur. Namun menurut si bapa, dia juga mengambil cuti bekerja sehari bagi memastikan anaknya dapat bermain permainan video selama mungkin, tanpa tidur. Si bapa berkata, anaknya tertidur dengan telefon masih berada di tangan, beberapa kali. Bagaimanapun, dia mengejutkann anaknya dengan menggerakkan badan untuk kembali sedar. Kira-kira 17 jam kemudian pada pukul 6.30 petang, anaknya merayu supaya membenarkannya untuk tidur dan berjanji tidak akan bermain permainan video menerusi telefon tanpa kebenaran. Perjanjian tersebut dipersetujui secara bertulis bagi menjadikannya sebagai rasmi. - odditycentral Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube