PADAH merakamkan foto separuh bogel di atas sebuah gunung yang dianggap suci oleh penduduk tempatan, seorang pelancong Rusia diusir dari Bali, Indonesia. Pelancong lelaki berusia 24 tahun yang menggelar diri sebagai Yuri Chilikin di media sosial itu bertindak mengambil gambar tanpa pakaian dari pinggang ke bawah hingga menampakkan bontotnya di Gunung Agung, puncak tertinggi Bali. Gunung itu dipercayai oleh penganut Hindu di pulau pelancongan itu sebagai rumah tuhan mereka. Menurut pejabat imigresen di Bali, akibat daripada perbuatannya berkenaan, dia dihantar pulang ke Moscow melalui Dubai, dan dilarang memasuki Indonesia selama sekurang-kurangnya enam bulan. ARTIKEL BERKAITAN: Wanita Rusia bangga dapat panjat Menara Merdeka 118, takut tapi puas hati! - “Saya lakukan perbuatan gila dan tidak ditahan” ARTIKEL BERKAITAN: Penceroboh Rusia menyamar pakai tudung, sanggup berbogel atas lantai konkrit demi nak ceroboh Menara Merdeka 118 Selepas ditahan dan disoal siasat ketika imej itu tersebar bulan lalu, dia memohon maaf sebelum dipaksa mengambil bahagian dalam upacara pembersihan (cleansing ritual) di hadapan gunung itu. "Saya melakukan segala-galanya untuk membetulkan keadaan ini dan ia adalah pengajaran yang baik tentang cara untuk tidak buat hal," tulisnya pada hantaran di Instagram. Aduan mengenai pelancong berkelakuan buruk di Bali semakin meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan rakyat Rusia dituduh oleh masyarakat Bali melakukan kesalahan berulang. Gabenor Bali Wayan Koster pada bulan lalu menghantar surat kepada kerajaan Indonesia menggesa agar pengecualian visa semasa ketibaan untuk pelancong Rusia dan Ukraine dikeluarkan. Tahun lalu, seorang pelakon Kanada dihantar pulang dari Bali selepas video dia berbogel di Gunung Batur, yang turut dianggap suci sambil melakukan Haka iaitu tarian upacara Maori New Zealand. "Sila nikmati keindahan alam semula jadi di Bali dengan mematuhi peraturan," kata pegawai imigresen Barron Ichsan pada Rabu. "Jika anda melanggar peraturan ditetapkan, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas," katanya lagi. - ALARABIYA NEWS Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube