SUAMI durjana! Begitulah pengalaman hitam yang terpaksa ditempuhi seorang wanita iaitu Wang Nuannuan sehingga menjadi perbualan hangat di saluran media sosial China, Douyin. Kejadian itu menggemparkan seluruh China apabila pasangannya, Yu Xiaodong menolak si isteri jatuh dari cerun yang berketinggian 34 meter di sebuah pusat peranginan di Thailand pada Jun 2019. Wang berjuang untuk pulih seperti sedia kala setelah kejadian mengerikan yang menimpanya. Wang yang berumur 35 tahun pada ketika itu melawan hukum fizik apabila dia terselamat namun kandungannya yang berusia tiga bulan terkorban. Akibat daripada insiden ngeri itu, Wang patah tulang di 17 bahagian dan lebih daripada 100 paku keluli dimasukkan ke dalam badannya serta menerima lebih daripada 200 jahitan. Dia juga melalui pembedahan sebanyak beberapa kali dan menjalani rawatan pemulihan intensif. Pada awal tahun ini Wang berjaya berdiri dan berjalan dengan sendirinya tanpa memerlukan bantuan tongkat, lapor Beijing Youth Daily. Wang menjalani rawatan pemulihan intensif. "Segala rintangan yang saya hadapi tak akan boleh 'membunuh' semangat saya dan hanya akan menjadikan saya lebih kuat," kata Wang. Wang berkata dia pernah hampir menyerah kalah ketika melalui tempoh rawatan pemulihan yang penuh azab, tetapi bersyukur kerana berjaya menemukan kekuatan untuk meneruskannya. "Jika saya menyerah kalah, adakah tubuh badan saya akan bertambah baik? Adakah keadaan mental saya akan bertambah baik? "Jawapannya tidak, jadi saya kena kuatkan diri, tahan air mata dan cekalkan jiwa bagi menanggung segala ujian yang mendatang agar saya dapat mencapai hasrat untuk melepaskan diri daripada 'penjara' kehidupan ini. "Jika saya tak buat pemulihan ini, saya selamanya akan terlantar di atas katil dan hanya boleh bergerak menggunakan kerusi roda," kata Wang. Suami Wang ditahan oleh pihak polis Thailand selepas kejadian. Sebagai seorang ahli perniagaan yang berdagang barangan antara China dan Thailand, Wang bertemu dengan suaminya, Yu pada tahun 2017 dan berkahwin dua bulan kemudian. Dakwa Wang, Yu mahu membunuhnya dan seterusnya mewarisi aset miliknya yang bernilai lebih daripada 10 juta Yuan iaitu bersamaan dengan beberapa juta dolar Amerika Syarikat. Ketika mendirikan rumah tangga bersama, Yu tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan sering memaksa Wang untuk memberikan duit bagi melunaskan hutang judinya. "Daripada saat saya ditolak jatuh dari cerun sehingga momen saya boleh bangkit semula untuk berjalan merupakan satu fasa yang sangat gelap dalam hidup saya. "Dia (suami) memusnahkan hidup saya. Dia mengkhianati saya. Kerana dia, saya hilang bayi saya. Kesihatan saya diragut daripada saya. Kerjaya saya punah. Perancangan masa depan saya lebur. "Keseluruhan kehidupan saya hancur menjadi debu," kata Wang mengimbas kembali tragedi yang telah mengubah segala-galanya. Yu telah dipenjara seumur hidup pada tahun 2020 oleh mahkamah Thailand. Pada rayuan pertama, hukuman penjaranya dikurangkan kepada 10 tahun. Kini Wang sedang merayu untuk mengubah keputusan terbabit. Wang mengharungi keperitan yang tidak terhingga untuk berjalan semula. Wang kini menetap di Nanjing di wilayah Jiangsu timur China. Wang cuba menyara hidupnya dengan menjual produk melalui penstriman di platform media sosial pada tahun 2021. Namun tidak dapat diteruskan kerana kecederaan pada tubuh yang menghalangnya dari bekerja berat. Wang ada berkongsikan kisahnya itu di Douyin dan mendapat perhatian ramai pengguna platform tersebut. "Ramai yang memberikan saya sokongan melalui mesej. Mereka semua pernah melalui bermacam jenis rintangan dan pernah merasai kehilangan. "Mereka berkata selepas melihat video saya, mereka seperti disuntik semangat kerana nasib saya adalah lebih tragis daripada apa yang pernah dilalui mereka tetapi saya tidak mengenal erti lelah. "Saya akan membalas mesej dan memberikan semangat kepada mereka. Itulah tujuan utama saya berkongsikan kisah," kata Wang. "Ia adalah satu berita baik yang kini Wang boleh berdiri dengan sendirinya. Saya sangat risau tentang Wang. Saya yakin kehidupan Wang akan terus bertambah baik. "Wang adalah seorang wanita yang sangat kuat. Semoga dia sentiasa dirahmati Tuhan. "Suami Wang berperangai syaitan! Dia harus menerima hukuman yang paling berat," kata beberapa warga maya di platform Douyin. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube