suria

Cemburu isteri pergi bercuti, suami bakar rumah keluarga mentua... Siap ugut bunuh

Suami bakar rumah keluarga akibat rasa cemburu terhadap isterinya yang pergi bercuti.

AKIBAT rasa cemburu, seorang lelaki membakar rumah isterinya yang meninggalkan dia lalu bercuti ke wilayah lain bersama keluarga.

Lelaki tersebut didakwa mengancam untuk membunuh keluarga si isteri dengan membawa pistol bersamanya.

Kejadian itu dikatakan berlaku di Nakhon Pathom, Bangkok, Thailand.

Adik kepada isteri, berusia 35 tahun bernama Wanlop Arpha, menggunakan grup Facebook untuk berkongsi maklumat mengenai kejadian itu.

Dia menggesa netizen melaporkan kepada polis jika mereka melihat pesalah yang merupakan adik iparnya, Min Sukheewong, berusia 48 tahun.

“Ini adalah orang yang berbahaya. Dia suami kakak saya, bernama Min. Dia memandu Toyota Hilux Vigo, berdaftar di Bangkok bernombor 7กฒ3637.

“Dia ke kediaman saya dan membakar rumah kira-kira jam 11 malam pada 9 April. Dia juga mengancam untuk membunuh seluruh keluarga saya setiap kali dia bertengkar dengan kakak saya.

“Kali ini, bernasib baik kerana tiada sesiapa di rumah ketika kebakaran berlaku. Dia membawa pistol bersamanya sepanjang masa. Saya sudah memfailkan aduan dengan polis, tetapi dia masih bebas,” kata Wanlop.

Ketika ditemu bual, Wanlop menyatakan bahawa jirannya, KhaoSod melihat api dan memadamkannya menyebabkan rumah mereka tidak rosak sepenuhnya.

Dia memeriksa kamera keselamatan dan percaya bahawa Min cedera dalam kebakaran kerana dia tidak dapat melarikan diri sewaktu api semakin besar.

Wanlop mendedahkan Min mempunyai anak bersama isteri terdahulu sebelum berkahwin dengan kakaknya.

Mereka bersama selama sedekad, tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Min mengalami ketagihan alkohol dan kuat cemburu.

“Dia akan menjadi marah setiap kali isterinya melancong bersama ahli keluarganya.

“Keluarga saya takut dengan Min dan mahu pihak berkuasa menangkapnya secepat mungkin. Mereka terlalu takut untuk tinggal di rumah kerana takut Min akan kembali,” luah Wanlop.

Selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman Min, polis mendapati dia tidak pulang sejak kejadian itu berlaku. - THAIGER

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain