suria

Bukan Jumaat atau Sabtu! Umat Islam di Yogyakarta raya awal, ratusan jemaah solat sunat Aidilfitri pagi Khamis

Jemaah terpaksa solat di tepi jalan kerana ruangan masjid yang terhad.

KETIKA umat Islam di Malaysia masih menantikan pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal, ratusan jemaah di Kompleks Masjid Aolia di Panggang III, Giriharjo dekat Yogyakarta sudah melakukan solat sunat Hari Raya Aidilfitri pada pagi Khamis.

Memetik portal Kompas, ratusan jemaah mula memenuhi kompleks masjid sejak pukul 6.30 pagi.

Sebilangan anggota polis dan tentera turut dilihat mengawal lalu lintas di mana terdapat juga jemaah yang melakukan sembahyang di bahu jalan.

Bukan sahaja di Masjid Aolia, beberapa masjid di Panggang turut mengadakan solat sunat hari raya.

Perkara ini disahkan oleh Dusun Warak, Kelurahan Girisekar, Sudarisman dengan menyatakan bahawa penduduk RT 001 hingga 005 akan mengadakan solat sunat Aidilfitri pada Khamis.

“Secara keseluruhan di Dusun Warak, terdapat sekitar 350 orang yang menyambut hari raya Aidilfitri terlebih dahulu.

“Puasa masih 29 hari kerana mereka juga bermula lebih awal iaitu pada 22 Mac. Saya juga antara yang menyambut awal," kata Sudarisman.

Menurutnya, selepas waktu solat Maghrib pada Rabu, laungan takbir sudah kedengaran di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, solat sunat Aidilfitri diadakan di beberapa masjid iaitu Masjid Aolia Temuireng 1 Kampung Girisuko, Masjid Aolia Panggang 3, Masjid Almaunah Banyumeneng 1 Padukuhan dan Masjid Albarokah Banyumeneng 2 Padukuhan di Kampung Giriharjo.

Sebelum ini Pimpinan Pusat (PP) Muhammadiyah di Indonesia mengumumkan 1 Syawal 1444 Hijrah di negara itu jatuh pada Jumaat, 21 April.

Seperti yang dilapor CNBC Indonesia, penetapan itu dibuat berdasarkan Hisab Hakiki Wujudul Hilal yang berpandukan Majlis Tarjih dan Tajdid.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain