SEORANG pengantin perempuan maut disyaki dibunuh oleh pasangannya sendiri pada hari perkahwinan mereka. Memetik portal The Thaiger, kejadian berlaku di India pada 4 Mei lalu iaitu hari perkahwinan mangsa berusia 21 tahun dan tunangnya yang berumur 27 tahun. Menurut jurucakap polis Lucknow, mangsa meninggalkan rumah untuk ke salun kecantikan sebelum majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung di sebelah petang. "Namun, gadis itu tidak pulang ke rumah atau menjawab telefon menyebabkan keluarganya bimbang. "Mereka kemudian ke salun kecantikan tetapi tidak menemuinya, dan akhirnya memfailkan laporan orang hilang di balai polis," katanya. Pihak polis memeriksa rekod telefon mangsa dan mendapati tunangnya sendiri merupakan individu terakhir berhubung dengannya. Ketika dipanggil ke balai untuk sesi soal siasat, suspek menafikan dan mendakwa dia sibuk dengan persiapan perkahwinan tetapi akhirnya mengaku membunuh mangsa. Suspek didakwa menghubungi mangsa untuk berjumpa dengannya untuk berbincang dengan membawanya ke tempat terpencil di dalam hutan. Pertengkaran tercetus sehingga suspek bertindak mencekik tunangnya menggunakan selendang dipakai mangsa. Kemudian, suspek mematikan telefonnya dan pulang ke rumah seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dalam pengakuannya, suspek memaklumkan motif membunuh tunangnya pada hari perkahwinan mereka adalah kerana dia berasa terpaksa berkahwin dan tidak bersedia untuk memberikan komitmen. Dia bersetuju dengan perkahwinan itu semata-mata untuk menyedapkan hati tunangnya tetapi mula panik apabila hari berkenaan semakin hampir sebelum memutuskan untuk membunuh mangsa. Suspek kini ditangkap dan berdepan dengan pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan India (IPC), termasuk Seksyen 364 (penculikan atau penculikan mangsa), 302 (pembunuhan), dan 201 (memberi maklumat palsu), lapor Sanook. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube