SEORANG warga emas maut dalam keadaan tragis apabila dia dibaham kira-kira 40 ekor buaya selepas terjatuh ke dalam kandang di ladang reptilia milik keluarganya, di Siem Reap, Kemboja. Dalam kejadian pada Jumaat, mangsa yang berusia 72 tahun itu dikatakan cuba mengeluarkan seekor buaya dari sangkar tempat ia bertelur menggunakan sebatang kayu. Bagaimanapun, reptilia berkenaan mencengkam kayu yang digunakan mangsa dan menariknya sehingga terjatuh ke dalam kandang. Mangsa dikerumuni kumpulan reptilia berkenaan yang rakus menyiat serta mengoyak anggota tubuhnya, menyebabkan kandang berkenaan dipenuhi darah. Ketua Polis Siem Reap, Mey Savry, berkata cebisan mayat lelaki itu dipenuhi kesan gigitan. Dia berkata sebelah lengan lelaki itu turut hilang dibaham buaya. Untuk rekod, pada 2019, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun turut maut dibaham buaya selepas dia merayau di ladang reptilia keluarganya di kampung yang sama, kata ketua polis itu. Terdapat beberapa ladang buaya di sekitar Siem Reap, di mana reptilia itu dipelihara untuk telur, kulit dan dagingnya. - THE STAR Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube