SEORANG remaja berusia 19 tahun ditahan gara-gara merempuh penghadang keselamatan di Rumah Putih menggunakan sebuah trak kerana mahu membunuh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. Tertuduh telah dikenal pasti sebagai Sai Varshit Kandula, seorang penduduk Chesterfield, Missouri. Dilaporkan oleh beberapa media bahawa tertuduh berasal dari India. Menurut agensi berita AP, selepas merempuh trak itu ke penghadang, Kandula mula mengibarkan bendera Nazi. Ketika proses soal siasat, Kandula memberitahu bahawa dia mahu mengawal kerajaan dan membunuh Biden. Dia sudah pun merancang serangan tersebut selama enam bulan. Semasa soal siasat juga, Kandula memberitahu bahawa dia sangat dipengaruhi oleh Hitler kerana diktator Jerman itu seorang pemimpin yang berkuasa. Bagaimanapun, tiada senjata atau bahan letupan ditemui di dalam traknya. Kandula menghadapi beberapa pertuduhan termasuk membuat ugutan untuk membunuh, menculik, dan menyebabkan kecederaan kepada Presiden atau mana-mana ahli keluarganya. - India.com Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube