suria

Mewah! Pemuda hantar wang tunai, jongkong emas berjumlah RM6.47 juta untuk tunang guna kereta perisai

Kesemua barangan hantaran dibawa di dalam peti besi menggunakan kereta perisai. -Gambar Webossx

PERKAHWINAN pasangan ini mungkin menjadi antara yang termahal memandangkan pengantin lelaki memberi hantaran kepada bakal isterinya berjumlah 9.98 juta yuan (RM6.47 juta).

Jumlah tersebut merangkumi wang tunai, serta jongkong emas dan jam tangan mewah.

Menariknya, kesemua barangan serta wang tunai itu dihantar oleh lelaki dari wilayah Zhejiang, China itu ke rumah bakal isterinya menggunakan kereta perisai.

Menerusi video yang tular di media sosial, kelihatan barangan hantaran dimasukkan ke dalam enam peti besi berwarna merah dan dipindahkan oleh empat pengiring profesional.

Wang tunai kemudiannya dihantar ke bank untuk dimasukkan ke dalam akaun bakal pengantin perempuan.

Foto-foto lain yang tular turut menunjukkan timbunan wang tunai, jongkong emas dan barang kemas diletakkan di atas meja.

"Ini adalah adat tempatan, ia sangat biasa di Taizhou," kata pengantin lelaki yang dikenali sebagai Yan, 30.

Tambahnya, dia dan pasangan merancang untuk mengikat tali perkahwinan pada penghujung 2023.

Untuk makluman, 'harga pengantin perempuan' di China atau dikenali sebagai cai li, meningkat hingga mencecah ribuan yuan di mana difahamkan ia adalah adat tempatan.

Wilayah tenggara Jiangxi merekodkan purata 'harga pengantin perempuan' yang tinggi, bermula sekitar 380,000 yuan (RM246,568), tidak termasuk hantaran iringan lain seperti kereta dan rumah.

Walaupun kerajaan cuba mengekang situasi ini, namun ia hanya menunjukkan 'penurunan' yang terlalu sedikit. -The Straits Times (Singapore)/Asia News Network

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain