RAMBUT sama hitam, hati lain-lain. Angkara niat jahat, seorang wanita Brazil maut selepas menikmati coklat yang dihadiahkan sempena ulang tahun kelahirannya. Lindaci Viegas Batista de Carvalho menerima sejambak bunga dan coklat dari individu tidak dikenali sempena meraikan hari istimewanya. Wanita berusia 54 tahun itu dilaporkan meninggal dunia selepas memakan coklat itu yang didakwa keluarganya mengandungi racun. Kakaknya, Lenice Batista berkata, mangsa mula berasa mual dengan matanya terbeliak selain tangannya mula mengecut selepas menjamah coklat itu. "Dia kemudian terus pengsan dan tidak sedar diri," kata kakak mangsa. Tambahnya, Carvalho disahkan meninggal dunia selepas tiba di hospital di Rio de Janeiro, Brazil. "Anaknya yang juga sempat cuba memakan coklat itu terselamat kerana terus meludahkannya ekoran rasanya tidak enak," katanya. Sementara itu, saudara-mara mangsa juga mendakwa wanita itu diugut di media sosial sebelum kejadian. Wanita itu dilaporkan menerima panggilan mencurigakan pada Sabtu minggu lalu mengenai penghantaran untuknya. Dia kemudian meminta bungkusan itu untuk ditinggalkan di kedai teman lelakinya. Mangsa kemudian membawa coklat itu ke salun kecantikan, tetapi pada mulanya enggan makan sehingga dia bertanyakan kepada bekas suaminya yang mengakui memberikan hadiah itu. Bagaimanapun, selepas kematian Carvalho, bekas suaminya mendakwa dia bergurau mengenai penghantaran itu, malah kakak mangsa tidak menganggap lelaki itu sebagai suspek kerana kedua-duanya mempunyai hubungan baik. Sementara itu, polis sedang menyiasat dakwaan berkenaan manakala analisis makmal coklat itu dijangka selesai dalam tempoh 30 hari. - Daily Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube