suria

Berat badan cecah 300 kg, 'forklift' dipanggil untuk angkat pemuda

Pemuda ini memerlukan kaedah pengangkutan istimewa kerana berat badan melampau.

BERAT badan berlebihan membawa padah!

Seorang lelaki yang menghidap obesiti melampau hingga mencecah 300 kilogram (kg) memerlukan bantuan 'forklift' untuk mengangkatnya ke sebuah trak sebelum dihantar ke hospital.

Ketua Pelaksana Badan Pengendalian Bencana Daerah Ciledug, Mulyadi berkata penduduk setempat meminta bantuan pihaknya untuk membawa lelaki berkenaan yang berusia 27 tahun dari kediamannya ke Hospital Kota Tangerang, Indonesia.

Lelaki tersebut hanya terkaku di atas katil rumahnya dan harus dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan mengurangkan berat badan termasuk pemotongan usus dan diet pemakanan.

"Penduduk menghubungi kami untuk membantu memindahkan seorang penduduk yang sakit ke hospital. Setibanya di lokasi, kami mendapati bukan sahaja jalan ke rumah pesakit adalah sempit, malah dia mempunyai tubuh yang besar.

"Penyelesaiannya, 'forklift' terpaksa digunakan untuk mengangkat pesakit itu dan diletakkan ke atas trak sebelum dibawa ke hospital," katanya.

Pendekatan menggunakan 'forklift' itu ternyata membuahkan hasil apabila proses membawa lelaki tersebut ke hospital berjalan dengan lancar.

Jiran lelaki terbabit memaklumkan pemuda itu mengalami masalah berat badan berlebihan sejak usia 11 tahun dan dia sudah terbaring di atas katil selama lapan bulan. - Wartakota.com

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain