suria

Lebih 20 kesan luka calar, pusat jagaan dakwa bayi 10 minggu dicakar kanak-kanak lain

Terdapat lebih 20 kesan calar pada wajah Noah. -Gambar Nine

SEORANG ibu tidak dapat menahan rasa sedih bercampur kecewa apabila melihat wajah bayinya yang berusia 10 minggu penuh dengan kesan luka calar sebaik mengambilnya dari sebuah pusat jagaan kanak-kanak.

Wanita bernama Rachel itu turut berkongsi gambar yang memaparkan wajah anaknya, Noah.

Dakwa wanita tersebut, terdapat lebih 20 kesan calar pada wajah Noah.

Rachel berkata, dia meninggalkan Noah di pusat jagaan kanak-kanak Only About Children, di mana kakitangan pusat tersebut memberitahu bahawa kecederaan bayinya adalah kerana dicakar oleh kanak-kanak lain.

"Ia adalah perkara mengerikan. Kami tidak dapat menerimanya. Mereka (pihak pusat asuhan) memberitahu bahawa perkara itu berlaku secara tidak sengaja tetapi kami tidak boleh menerima penjelasan tersebut.

"Lebih 20 calar di muka Noah, bagaimana ini boleh berlaku secara tidak sengaja?" katanya kepada media tempatan.

Sementara itu, pusat jagaan kanak-kanak yang terbabit tampil dengan satu kenyataan berhubung perkara tersebut.

"Kami memandang serius tentang keselamatan dan kesejahteraan setiap kanak-kanak dalam jagaan kami dan sedih dengan insiden antara Noah dan seorang lagi anak kecil baru-baru ini.

"Kami akan terus menawarkan penjagaan serta sokongan kewangan susulan kejadian berkenaan," demikian menurut kenyataan itu. -Dailystar

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain