SEORANG wanita bertindak nekad membakar diri bersama dua anak kecilnya di dalam rumah selepas mendapat tahu suaminya menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Dalam kejadian pada petang Selasa lalu di sebuah kampung di Saina, Kajiado, Kenya, wanita terbabit dikatakan mengurung diri di dalam rumah bersama dua anak kecilnya sebelum menyalakan api. "Jiran-jiran bertindak pantas memadamkan api yang marak menggunakan penyembur air dan akhirnya berjaya, namun mereka menemui mayat dua kanak-kanak," kata polis. Mayat dua kanak-kanak yang masing-masing berusia 10 dan dua tahun dibawa ke hospital untuk dibedah siasat, manakala wanita berkenaan turut dibawa ke hospital yang sama untuk menerima rawatan kerana mengalami lecur yang teruk. Siasatan awal mendapati wanita berkenaan bergaduh dengan suaminya menerusi telefon sejak dua minggu lalu. "Suaminya didakwa bersekedudukan dengan wanita lain dan tidak pulang ke rumah sejak dua minggu lalu," kata polis lagi. Siasatan berhubung kejadian itu masih berjalan. -Citizendigital Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube