MIMPI ngeri lelaki ini berakhir dengan penamat yang baik. Begitulah kisah yang dilalui Tim Shaddock, 51, seorang warganegara Australia yang terkandas di lautan terbuka selama tiga bulan. Shaddock menghabiskan hari-harinya dengan berikhtiar untuk meneruskan hidup di tengah Lautan Pasifik bersama anjing peliharaannya, Bella, sementara menunggu penyelamat tiba untuk membawa mereka pulang. Menurut Shaddock, dia bergelut untuk terus bernyawa dengan hanya makan ikan mentah dan minum air hujan setiap hari. Penantian penuh penyeksaan akhirnya tamat apabila sebuah helikopter menemukan mereka di luar pantai Mexico dan kemudiannya diselamatkan sebuah bot pukat tunda. Menceritakan semula detik penuh cemas itu, Shaddock memulakan pelayaran lebih 6,000 kilometer (km) dari La Paz, Mexico untuk ke Polynesia Perancis pada April lalu, sebelum bot mereka rosak akibat dibadai ribut ganas. Ribut itu menjejaskan peralatan elektronik di dalam bot milik Shaddock yang menyebabkan ia tidak dapat beroperasi, alat komunikasi rosak dan seterusnya hanyut ke utara Lautan Pasifik dibawa ombak. Doktor memberitahu pemberita bahawa Shaddock bernasib baik kerana walaupun terdedah kepada unsur alam untuk masa yang lama tetapi dia diselamatkan dalam keadaan baik dan sihat. Shaddock ketika ditemukan dilihat berjambang dan kurus, sambil mengakui berdepan pengalaman yang hampir menyebabkan dirinya putus harapan ketika di lautan. Tambahnya lagi, dia menggunakan peralatan memancing untuk menangkap ikan serta berlindung di bawah kanopi botnya bagi mengelak sinaran matahari yang terik. "Ketika ini, saya hanya mahukan rehat dan makanan yang enak kerana sudah lama bersendirian di laut. Selain itu, saya sihat sahaja," katanya. Tidak lama selepas operasi menyelamat itu, Shaddock mampu tersenyum sambil memakai alat pemantau tekanan darah di lengan dan boleh menjamah sedikit makanan ringan. - USA Today Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube