BUNTU kerana terbelit masalah hutang, seorang wanita dari Bekasi, Indonesia mengambil jalan singkat dengan menjual bayinya yang berusia 14 hari. Wanita yang dikenali sebagai HI, 29, pada mulanya menawarkan bayinya untuk dijadikan anak angkat menerusi Facebook. Seorang wanita yang hanya dikenali sebagai AP, kemudian menghantar mesej menerusi inbox meluahkan hasrat untuk mengambil bayi HI sebagai anak angkat. Kedua-duanya bertemu di sebuah hotel di Semarang pada 11 Julai lalu dan HI bersetuju menjual bayinya dengan harga 30 juta rupiah (RM9,095). Segala-galanya terbongkar apabila suami HI bertanyakan keberadaan anak keempat mereka di mana wanita itu akhirnya menceritakan apa yang berlaku. Mereka berusaha menghubungi AP namun ternyata gagal apabila nombor telefon sudah disekat. Pasangan itu juga berusaha ke hotel tempat pertemuan bersama AP, namun hampa apabila gagal mendapat sebarang petunjuk lalu akhirnya melaporkan kepada pihak polis. Polis akhirnya berjaya menjejaki AP dan bayi milik HI. Kedua-dua wanita itu kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah akta perlindungan kanak-kanak. -Tribunnews Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube