PEMILIK Taman Air Aloha menunjukkan kemuliaan hatinya apabila menarik balik laporan polis terhadap sepasang suami isteri atas tuduhan mencuri. Malah dia menawarkan pekerjaan buat mereka setelah mengetahui latar belakang keluarga suspek. Terdahulu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek dikenali sebagai Sarawut, 29, mencuri makanan daripada sebuah kedai di dalam Taman Air Aloha manakala isterinya, Arun, 43, dan anak perempuan mereka menjadi 'pemerhati' dalam kejadian 4 Julai lalu. Sarawut mencuri minuman teh hijau, susu sejat dan beberapa bahan membuat minuman lain sebelum meletakkannya ke dalam beg tote sebelum meluru keluar menaiki motosikal mereka. Pemilik taman air itu, Pitsanu Siripongtanakorn, 42, menyerahkan bukti rakaman CCTV di Balai Polis Meaung Sakon Nakhon, Thailand menyebabkan pasangan itu ditahan pada 24 Julai, di rumah sewa mereka. Tanpa berdalih, pasangan itu mengakui melakukan jenayah tersebut. Setelah disoal siasat, Arun memberitahu dia menyara keluarganya dengan menjual pencuci mulut buatan sendiri namun terpaksa mencuri bahan mentah untuk mengurangkan kos perniagaannya. Tersentuh dengan kisah kehidupan Arun, Pitsanu menarik balik laporannya kerana bimbang hukuman penjara akan menyebabkan anak gadis supek ditinggalkan sendirian. Bukan itu sahaja, dia juga menawarkan peluang pekerjaan kepada pasangan itu di Taman Air Aloha. Bagaimanapun tidak ada maklumat terkini sama ada pasangan itu menerima tawaran baik daripada pemilik taman air itu. THAIGER Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube