SEORANG wanita memberikan hampir semua gaji kepada ibunya selama 12 tahun dan percaya sudah mengumpul TWD$2.66 juta (RM390,000). Bagaimanapun, dia terkejut apabila mendapati wang itu hanya tinggal TWD$50,000 (RM7,300), lapor laman berita HK01. Wanita yang tidak mendedahkan identitinya itu berkongsi nasibnya dalam forum Facebook Anonymous 2 Community. Dia berkata telah menyerahkan hampir semua gaji bulanannya sebanyak TWD$24,000 (RM3,500) kepada ibunya sejak tamat pengajian dan hanya mengambil TWD$4,500 (RM656) untuk perbelanjaan asas bulanan. Tambahnya lagi, dia bertindak sedemikian kerana percaya kata-kata ibunya sebelum ini. "Kalau kamu bagi mak uruskan wang kamu sekarang, kamu akan berterima kasih kepada mak pada masa hadapan," demikian kata-kata ibunya yang berjaya meyakinkan si anak. Ibunya juga memberi jaminan bahawa dia boleh meminta wangnya itu jika diperlukan, tetapi berlaku situasi sebaliknya. "Saya masih ingat pernah sekali saya nak kerintingkan rambut dan minta mak keluarkan TWD$3,000 (RM438), tapi saya dimarahi kerana membazir,” katanya. Lebih menyedihkan, apabila lapar dan tidak cukup wang untuk makanan, dia sanggup tidak meminta daripada ibunya kerana bimbang dimarahi. Wanita itu menganggarkan selepas 12 tahun wang simpanan yang dipegang ibunya bernilai RM390,000. Bagaimanapun, apabila mahu berkahwin dan menerima buku bank daripada ibunya, dia terkedu apabila wang simpanannya cuma tinggal RM7,300 dalam akaun. Walaupun terkejut, dia tidak bertanya kepada ibunya tentang wang tersebut tetapi mengakui kecewa dengan kecurian itu serta sikap ibu bapanya terhadap wang dan anak-anak. "Mereka percaya lumrah anak-anak cari wang untuk ibu bapa," katanya. Dia kini menguruskan wang sendiri dan sejak kejadian itu masih belum bersemuka dengan ibunya yang masih bertanyakan tentang gajinya. "Memandangkan saya dan suami mempunyai gadai janji, pinjaman kereta, perbelanjaan keluarga dan dua anak untuk ditanggung, tekanan kewangan adalah ketara. Saya tak berani beritahu pendapatan saya,” katanya. Kisahnya mendapat pelbagai reaksi warganet yang berkongsi pengalaman hampir serupa. "Ibu kamu berbohong kepada kamu tapi ibu saya terus ugut! Dia suruh saya keluar jika tak beri wang. "Semasa kecil, ibu janji nak simpan semua duit raya yang diterima pada Tahun Baru Cina, tapi kemudian dia terus lupa. "Jika anda nak hidup tenang, tak perlu dedahkan gaji sebenar. Konteks sosial semasa telah berubah dan begitu juga sikap ibu bapa. Mereka tak sepatutnya berulang kali menggunakan manipulasi emosi,” demikian antara komen netizen. -SCMP Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube