SEORANG model menyesal kerana membelanjakan £130,000 (RM766,097) untuk memanjangkan kakinya. Theresia Fischer, 31, dari Jerman menjalani pembedahan tujuh tahun lalu dan kini memiliki ketinggian lebih 1.8 meter. Dakwa pempengaruh itu, dia membuat keputusan berkenaan selepas didesak oleh bekas teman lelakinya. Ketika berusia 24 tahun, Theresia menjalani pembedahan untuk memasukkan rod teleskopik boleh laras ke dalam tulang keringnya. Alatan itu secara beransur-ansur diputar ke atas untuk memanjangkan kakinya. Ketika wawancara bersama rangkaian radio MDR Jump pada Selasa, model itu membuat luahan perasaan mengenai masalah yang dihadapinya. "Saya malu kerana membenarkan pembedahan yang tak sepatutnya berlaku. Bekas teman lelaki saya suka perempuan yang besar. "Dia kata saya tiada apa-apa tanpa dirinya. Selepas berpuluh kali diulang ayat sama, saya jadi percaya saya tiada apa-apa tanpa dirinya," luahnya kesal. - Daily Star. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube