suria

Siput laut naga biru terdampar di pantai, saintis marin pesan supaya orang ramai jauhi haiwan berbisa ini

Siput laut berbisa itu dijumpai di Pantai Karon, Phuket. -Gambar Facebook/MONSOONGARBAGE

ORANG ramai diberi amaran agar berhati-hati dengan kehadiran siput laut naga biru yang dikesan berhampiran pantai peranginan popular Thailand.

Haiwan berbisa itu dikesan di Pantai Karon di Phuket selepas seminggu kejadian angin kencang dan air pasang melanda kawasan berkenaan.

Foto haiwan laut yang cantik tapi menyeramkan itu meraih perhatian ramai selepas dikongsi di laman Facebook Monsoongabage Thailand.

Saintis marin dan pensyarah Universiti Kasetsart, Thon Thamromgnawasawat, turut menggesa orang ramai agar menjauhi haiwan berkenaan.

"Slug laut yang dimaksudkan itu tergolong dalam spesies Glaucus atlanticus. Mereka tinggal di paras pertengahan air laut dan sering ditemui jauh di laut.

"Ia jarang ditemui di sepanjang pantai. Gelombang ombak dan angin yang kuat berkemungkinan mendorong mereka ke arah pantai.

"Mereka makan obor-obor dan menyerap sel-sel sengat obor-obor dalam badan mereka sendiri, menyebabkan wujudnya racun ganas dalam mereka

"Kami jarang melihat naga biru di Thailand. Jika anda menjumpainya, jangan sentuh mereka. Jika anda tidak sengaja menyentuhnya, bersihkan bahagian badan yang terjejas dengan cuka," ujar Thon.

Menurut laporan, haiwan itu biasanya ditemui di perairan panas Australia serta Afrika Selatan dan Eropah.

Thaiger melaporkan haiwan itu boleh memberi kesan kepada sistem saraf, fungsi jantung, dan sel-sel dermis dan boleh membawa maut. - Daily Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain