suria

Bapa durjana! Lelaki mengaku bunuh anak kandung umur 2 tahun, tanam bawah lantai dapur

Songsak dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut berhubung kematian anaknya -Gambar Wassayos Ngamkham

SEORANG lelaki ditahan kerana bersubahat dengan isterinya dalam pembunuhan anak perempuan mereka yang berusia dua tahun.

Polis turut percaya lelaki yang mengaku membunuh anak perempuannya itu dan menanam mayat mangsa di bawah lantai dapur di rumah isterinya di wilayah Kamphaeng Phet, Bangkok, Thailand mungkin mengambil nyawa lebih ramai anak-anaknya dengan cara yang sama.

Songsak, 46, dan isterinya Sunan, 40, ditangkap di Pathum Thani dan dibawa ke Kamphaeng Phet bagi menunjukkan tempat mereka mengebumikan mayat anak perempuan berusia dua tahun itu.

Menurut polis, kanak-kanak perempuan itu dilaporkan dikurung di dalam bilik air dan diseksa oleh bapa mereka manakala adik lelakinya hilang penglihatan kerana didakwa didera secara fizikal.

Tindakan tidak berperikemanusiaan bapa itu didedahkan oleh seorang pempengaruh media sosial, Kanthas Phongphaibulwet.

Dia memaklumkan kepada pihak polis di Bang Khen dan media Thailand tentang kemungkinan wujudnya aktiviti penderaan kanak-kanak di kediaman itu.

Ketika disoal siasat polis, Songsak dilaporkan mengaku membunuh anak perempuan berusia dua tahun di pangsapuri di Bangkok pada Mei tahun ini.

Ibu kepada gadis itu yang merupakan isteri ketiganya, didakwa memukul kanak-kanak itu dengan kuat sehingga meninggal dunia.

Pasangan itu berkata mereka menanam mayat kanak-kanak itu dengan simen di bawah lantai dapur rumah Sunan.

Polis pada petang Selasa menggeledah rumah itu dan menemui mayat kanak-kanak malang itu.

Mayat dibungkus di dalam beg sampah dan tertimbus kira-kira 70 sentimeter (cm) di bawah tanah.

Pegawai juga menemui kereta yang digunakan pasangan itu untuk mengangkut mayat dari Bangkok.

Dalam pada itu Songsak mengakui mengambil ubat untuk penyakit psikiatrinya selama beberapa tahun.

Penyiasat mendapati dia mempunyai empat isteri dan 10 anak, berumur antara enam bulan hingga 22 tahun.

Empat anaknya dilaporkan hilang dari 2013 hingga 2018 di mana kesemua mereka daripada isteri kedua.

Songsak mempunyai tiga orang anak dengan Sunan. Salah seorang kanak-kanak itu ditemui terkurung di dalam bilik air. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain