SEORANG ibu berusia 44 tahun ditahan kerana mencuri telur di sebuah pasar mini. Wanita itu nekad mencuri telur demi menyara tiga anaknya. Kejadian berlaku di Pondok Aren, Kota Tangerang Selatan di Banten, Indonesia. “Ketika soal siasat, suspek nekad mencuri telur untuk memenuhi keperluan makanannya sekeluarga pada hari itu,” kata Ketua Polis Pondok Aren, Komisioner Bambang Askar Sodiq ketika dihubungi, pada Selasa. Beliau berkata, polis menerima aduan daripada pasar mini berhubung kejadian itu. Susulan itu, anggotanya bergegas ke lokasi kejadian. Inspektor Samsul Hairudin kemudiannya cuba menyelesaikan masalah itu dengan baik. Malah, polis turut membantu untuk membayar telur yang dicuri suspek. Bambang berkata, pihaknya menyokong penuh menyelesaikan masalah tersebut dengan budi bicara dan secara kekeluargaan. Pihaknya juga meminta jasa baik pasar mini berkenaan untuk tidak memanjangkan isu tersebut. Dia mengakui sebak dengan kejadian itu kerana wanita itu mencuri atas desakan hidup dan memerlukan keperluan harian. “Si ibu mencuri untuk keperluan harian untuk hidup. Saya pesan kepada anggota supaya membeli keperluan asas dan telur untuk dia dan anak-anaknya,” katanya. - Detik News Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube