SEORANG gadis berusia 21 tahun maut selepas dia menjalani pembedahan membesarkan payudaranya, baru-baru ini. Mangsa yang dikenali sebagai Alessia Neboso, 21, menjalani prosedur itu bagi mendapatkan tubuh yang menawan menjelang majlis perkahwinannya. "Dia mengimpikan untuk berkahwin sambil menggayakan gaun yang menonjolkan lurah dadanya. Neboso sebelum ini pernah mengadu tentang saiz payudaranya," ujar rakan Neboso yang enggan mendedahkan namanya. Menurut individu itu lagi, bakal suami Neboso iaitu Mario Lucchesi, 22, juga pernah menentang hasrat gadis itu yang mahu menjalani pembedahan payudara. “Dia tidak mahu mendengar cakap teman lelakinya. Neboso sangat gembira kerana akhirnya dia mendapat keberanian untuk berjumpa pakar bedah," ujar rakannya lagi. Untuk rekod, gadis itu menjalani pembedahan payudara di sebuah klinik tempatan di Acerra, Itali, pada 11 September. Seminggu selepas pembedahan, Neboso mengalami demam panas, keletihan, batuk, lemah dan masalah gastrousus. Gadis itu dibawa ke sebuah hospital pada 20 September kerana keadaan kesihatannya yang merosot sebelum dia meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang dan kesukaran bernafas. - NY Post. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube