SAYANG pada barang kepunyaan sendiri biarlah berpada-pada. Lambakan barang yang tidak lagi digunakan boleh membuatkan rumah jadi berserabut, kotor dan mengundang penyakit. Seorang warga emas di Woodlands, Singapura sanggup tidur di koridor unit pangsapurinya dengan beralaskan kadbod kerana rumahnya dipenuhi barang-barang terbuang Wanita yang tinggal di blok pangsapuri 603 Woodlands Drive itu dikatakan bertindak demikian selama lebih 10 tahun lalu. Menurut jiran-jiran, wanita tersebut tinggal bersendirian di pangsapuri itu dan sering diziarahi oleh saudara lelakinya. Meskipun berkali-kali ditegah daripada berbuat demikian, dia tetap meneruskan aktivitinya. Rumah wanita itu berada dalam keadaan bersepah sehinggakan pintu pagar besi tidak dapat ditutup. Menurut wanita berkenaan, dia mengumpul barang-barang itu dari tingkat bawah dan berhasrat untuk menjualnya. Ia termasuk pinggan mangkuk plastik, beg pakaian, kadbod, botol plastik dan buah-buahan. Keadaan itu mengganggu jiran-jirannya yang berdepan pelbagai kesukaran termasuk menghalang laluan orang ramai serta menarik pelbagai haiwan perosak seperti tikus dan lipas. Tidak dinyatakan sama ada pihak berkuasa ada mengambil sebarang tindakan terhadap warga emas tersebut. - Mothership Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube