AKIBAT trauma dirompak, seorang warga emas berusia 60 tahun sentiasa membawa wang tunai termasuk barang berharga yang bernilai lebih RM971,580 (1.5 juta yuan) ke mana sahaja. Malah wanita ini hanya menggunakan bas sebagai pengangkutan utama setiap perjalanannya. Kisahnya itu diketahui umum selepas dia tertinggal 'beg merah' yang mengandungi kesemua barang berharganya termasuk wang tunai berjumlah RM3,237 (5,000 yuan) di dalam sebuah bas awam di Shanghai, China. Menurut laporan Shanghai TV, insiden itu berlaku pada 5 Oktober apabila wanita bernama Sun, menaiki bas di Daerah Minhang di bandar itu. Rakaman dari kamera pengawasan pada kenderaan itu menunjukkan dia meletakkan beg merah yang di dalamnya terdapat wang tunai, ID dan kad keselamatan sosialnya, beberapa buku bank dan sijil debentur, pada panel di belakang tempat duduk pemandu. Wanita terbabit memeriksa setiap barang yang berada di dalam beg merahnya. Barangan berkenaan mempunyai nilai gabungan lebih daripada 1.5 juta yuan. Ketika wanita itu turun dari bas, dia terlupa untuk mengambil beg tetapi segera menghubungi syarikat bas apabila menyedari apa yang telah dilakukannya. “Saya jawab telefon dari makcik ni. Dia sangat cemas, tetapi tidak menyatakan dengan jelas apa yang ada di dalam begnya,” Huang Jun, penyelaras laluan bas dipetik sebagai berkata. Keesokan harinya, wanita terbabit pergi ke syarikat bas dan mendapati semua barang berharganya masih utuh. Ketika ditanya mengapa dia membawa wang simpanannya ke mana-mana dia pergi, wanita tua itu menangis. “Rumah saya dirompak tahun lepas. Tetapi mujurlah, perkara-perkara ini seperti buku bank tidak diambil. Saya tidak berasa selamat meninggalkannya di rumah, jadi saya sentiasa membawa bersama. “Apabila saya menyedari semua wang hilang, saya sangat cemas sehingga menangis... akhirnya saya menemuinya. "Saya telah bertemu dengan orang yang baik hati,” tambah Sun. Kisah bas Sun menarik perhatian meluas di media sosial tanah besar, menarik 5.3 juta tontonan di Douyin sahaja. “Ia luar biasa! Dia membawa sejumlah besar wang bersamanya semasa berada di luar rumah. "Semua orang di dunia tahu anda mempunyai banyak wang sekarang," ujar beberapa warga maya. - scmp Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube