PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata perang negaranya dengan Hamas telah memasuki 'fasa kedua' apabila tentera Israel dan kenderaan berperisai digerakkan ke Gaza dalam perluasan operasi darat. Dalam sidang akhbar di Tel Aviv pada malam Sabtu, Netanyahu memberitahu Israel supaya bersedia untuk serangan berpanjangan dan keras sekali gus memberi bayangan 'perang kemerdekaan kedua', selepas 1948. "Ini adalah peringkat kedua perang yang matlamatnya jelas untuk memusnahkan pemerintahan dan keupayaan ketenteraan Hamas dan membawa pulang tebusan. “Kami akan memusnahkan musuh di atas dan di bawah tanah," katanya. Netanyahu berkata demikian ketika Gaza masih berhadapan masalah komunikasi di tengah-tengah pengeboman sengit Israel yang dianggap bertujuan untuk membuka jalan supaya tenteranya dapat bergerak masuk ke dalam enklaf. Media Palestin pada hari Ahad melaporkan bahawa komunikasi telefon dan internet secara beransur-ansur dipulihkan. Tentera Israel sehingga kini telah mengehadkan operasi daratnya kepada pencerobohan ringkas oleh tenteranya ke dalam enklaf. Namun, peningkatan terkini tidak menunjukkan pencerobohan berskala penuh meskipun lebih 300,000 tentera dikumpulkan sepanjang sempadan. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka bermesyuarat pada hari Isnin untuk membincangkan krisis itu. “Satu bencana kemanusiaan sedang berlaku di depan mata kita,” kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Sabtu. Pengeboman Israel ke atas Gaza, yang dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas komuniti Israel, telah menyebabkan lebih 1.4 juta orang kehilangan tempat tinggal. Serangan udara Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 7,703 rakyat Palestin, termasuk lebih 3,500 kanak-kanak, menurut pihak berkuasa di kawasan yang ditadbir Hamas. Serangan pelbagai serampang Hamas ke atas Israel membunuh lebih 1,400 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pegawai Israel. - Al Jazeera Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube