suria

Letih jaga 'bayi besar', ibu usir dua anak lelaki guna mahkamah

Warga emas kebanyakannya ingin masa bersendirian. -Gambar hiasan The Star/Ronnie Chin

AKIBAT terlampau selesa tinggal di rumah keluarga, dua adik-beradik ini diperintahkan 'keluar' oleh mahkamah.

Mana tidaknya, ibu mereka yang berusia 75 tahun terpaksa membawa kes tersebut ke mahkamah selepas kedua-dua mereka tidak 'menyumbang' kepada isi rumah.

Malah katanya, dua beradik yang berusia 40 dan 42 tahun itu mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap.

Menerusi laporan odditycentral, wanita yang berasal dari bandar Pavia, di utara Itali berjaya memenangi kes mahkamah untuk mengusir dua anak lelakinya dari rumah selepas mereka enggan meninggalkan 'sarang' atau menyumbang kepada isi rumah dalam apa cara sekalipun.

Dia dikatakan sudah lama meminta kedua-dua anaknya berpindah, lebih-lebih lagi mereka mempunyai pekerjaan dan mampu menyewa tempat tinggal sendiri.

Namun anak-anaknya itu tidak pernah melayan idea tersebut.

Bukan itu sahaja, kedua-dua mereka tidak pernah berkongsi kewangan atau melakukan kerja rumah.

Disebabkan 'terbeban', warga emas tersebut mendakwa kedua-dua anaknya itu ke mahkamah.

Kes mahkamah pelik ini diakhiri dengan keputusan Hakim mengeluarkan notis pengusiran terhadap dua adik-beradik tersebut.

Dalam keputusannya, hakim berhujah bahawa walaupun ia adalah kewajipan ibu bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anak mereka sehingga mencapai umur 18 tahun, perkara yang sama adalah tidak wajar apabila anak-anak sudah mencecah usia 40-an.

Dua bamboccioni (bayi besar), istilah yang pertama kali digunakan oleh ahli politik Itali pada 2007 untuk mengejek orang dewasa yang masih tinggal bersama ibu bapa mereka, kini mempunyai masa sehingga 18 Disember untuk berpindah dari rumah ibu mereka.

Menariknya, Itali mempunyai salah satu bahagian tertinggi orang dewasa yang masih tinggal bersama ibu bapa mereka. Menurut data dari 2022, hampir 70 peratus orang dewasa berumur 18 hingga 34 tahun masih tinggal di rumah bersama ibu bapa mereka.

Namun, kes di mana notis pengusiran terhadap anak-anak seseorang untuk meninggalkan sarang sangat jarang berlaku.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain