suria

Berang ditegur buat bising, lelaki ‘kurung’ jiran sebelum bakar rumah

Tiga buah motosikal terbakar berikutan kejadian pada malam Selasa.

POLIS menahan seorang lelaki yang didakwa membakar rumah jiran, yang berpunca daripada pertengkaran pada malam Selasa.

Huynh Tan Duy, 37, berdepan dengan tuduhan cubaan membunuh walaupun kesemua mangsa seramai tujuh orang berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran itu.

Siasatan mendapati Duy bertengkar dengan jirannya, seorang lelaki berusia 39 tahun pada malam kejadian.

Jiran berkenaan menegur Duy membuka pintu terlalu kuat, menyebabkan anak lelakinya berusia setahun menangis.

Berang dengan teguran itu, Duy mengikat pintu rumah mangsa menggunakan rantai besi sebelum menyimbah petrol ke tingkap rumah dan membakarnya.

Kesemua tujuh mangsa di rumah tersebut berjaya menyelamatkan diri dengan memecahkan pintu belakang, namun dua daripadanya mengalami kecederaan selepas nekad terjun dari tingkat dua.

Seramai 20 polis bergegas ke lokasi kejadian untuk memindahkan orang ramai dari kawasan itu, manakala 30 anggota bomba bersama lima jentera tiba bagi memadamkan kebakaran dalam masa kira-kira 20 minit.

Kebakaran itu memusnahkan tiga motosikal dan beberapa barang di rumah mangsa dengan kerosakan bernilai hampir 200 juta Vietnamese Dong (RM38,706). -VNExpress

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain