KETIKA kebanyakan media barat memutar belit berita mengenai konflik antara Israel dan Palestin, pengakuan seorang bekas tentera marin dari Amerika Syarikat (AS) menarik perhatian warga maya. Menerusi platform X, Lucas Gage yang merupakan veteran tentera marin AS bukan sahaja menyatakan sokongannya kepada Palestin, malah membongkar penipuan negaranya. "Saya bekas marin AS, dan saya menyokong Palestin. "Saya telah dikerahkan ke Iraq dua kali, dan melihat rakyatnya dimusnahkan berdasarkan pembohongan. "Saya tidak boleh berdiam diri, dan saya tidak boleh berkecuali, kerana saya melihat Gaza dan penduduknya dimusnahkan oleh pembohong yang sama," demikian ciapannya. Ciapan tersebut dibuat susulan tindakan Israel yang mengebom Gaza malam tadi sehingga menyaksikan wilayah itu lumpuh akibat terputus hubungan komunikasi dan internet. Dalam satu ciapan terdahulu, Lucas turut berkongsi betapa dia menyesal kerana menyertai pasukan tentera marin yang pada mulanya dia berniat mahu berkhidmat untuk negara. "Kami semua percaya kami berjuang untuk melindungi Amerika dan menyelamatkan rakyat Iraq. "Apabila saya pulang ke rumah dan mengetahui kebenaran, saya mengambil masa bertahun-tahun untuk melupakannya. "Menyertai tentera marin adalah keputusan paling teruk yang pernah saya buat dalam hidup. Syukur, saya tidak membunuh sesiapa sepanjang dua kali dikerah," ujarnya. Sementara itu menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya mengucapkan terima kasih kepada Lucas kerana berani bersuara untuk bersolidariti bersama Palestin. "Kagum dengan solidariti anda bersama Palestin. "Terima kasih kerana bersuara dan memberitahu kebenaran. "Anda adalah pahlawan sejati! Moga Tuhan memberkati anda," demikian komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube