suria

Telekomunikasi dipotong, rakyat Palestin guna speaker masjid beri pesanan meruntun jiwa

Rakyat Palestin menggunakan pembesar suara masjid ketika talian komunikasi mereka dipotong oleh Israel. -Gambar hiasan (kanan)

KEKEJAMAN rejim Zionis berterusan apabila mereka menyekat komunikasi telefon dan internet di Gaza.

Perkara itu menyebabkan rakyat Palestin terputus hubungan dengan dunia luar dan masyarakat sejagat tidak dapat lagi mengikuti perkembangan semasa di sana.

Badan kemanusiaan, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) dan wartawan mengatakan mereka tidak boleh menghubungi pasukan dan ahli keluarga di Gaza.

Selain itu, Israel turut mempergiat pengeboman ke atas jalan keluar rakyat Palestin ke negara-negara jiran.

Namun, perkara itu tidak memutuskan semangat rakyat Palestin untuk terus berjuang apabila mereka menggunakan pembesar suara di masjid bagi berkomunikasi dengan penduduk setempat.

Dalam satu video tular di X, kedengaran pesanan berkumandang daripada corong pembesar suara masjid yang membuatkan ramai meremang bulu roma mendengarnya.

Pesanan dengan nada suara cemas itu memaklumkan talian komunikasi sudah dipotong dan memanggil rakyat Palestin untuk terus berdoa agar kemenangan berpihak pada mereka.

"Komunikasi telah dipotong. Kami tidak dapat lagi berhubung dengan orang luar. Mereka (Israel) menggunakan kekuatan ketenteraan mereka ke atas kami.

"Tapi kami percaya kekuatan Tuhan adalah lebih besar daripada mereka. Wahai umat Islam, kami berlindung dengan doa kamu, Ya Allah berikanlah kami kemenangan," rayu individu di sebalik pembesar suara itu.

PRCS dalam satu kenyataan mengatakan mereka risau dengan terputusnya komunikasi di Gaza, rejim Zionis kini bebas untuk melakukan jenayah perang tanpa perlu dipertanggungjawabkan.

"Kami sangat risau dengan nasib orang awam di Gaza, serangan udara bertali arus oleh Israel bermaksud sesiapa sahaja boleh terkorban pada bila-bila masa.

"Talian kecemasan juga sudah tergendala dan bantuan tidak dapat diberikan tepat pada waktunya kepada mereka yang tercedera dan sedang bertarung nyawa," kata jurucakap PRCS.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain