RATUSAN orang menyerbu lapangan terbang utama, Rusia di Dagestan bagi membantah ketibaan penerbangan dari Israel pada petang Ahad. Pihak berkuasa kemudiannya menutup dan mengawal Lapangan Terbang Antarabangsa Makhachkala yang terletak di wilayah dengan ramai penduduk Muslim itu. Berdasarkan rakaman yang tular, orang ramai menyerbu dan membanjiri lapangan terbang berkenaan bagi 'memburu' penumpang yang baru tiba dari Tel Aviv, Israel. Laporan berita tempatan mengatakan pesawat yang membawa penumpang Israel itu milik syarikat penerbangan Rusia, Red Wings. "Akibat insiden di lapangan terbang Makhachkala, terdapat beberapa orang yang cedera dan menerima bantuan perubatan," kata kementerian kesihatan Dagestan di Telegram namun tiada ulasan lanjut dibuat. Keadaan di dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Makhachkala, Rusia. Terdapat juga rakaman menunjukkan sebahagian daripada penunjuk perasaan memasuki ruang landasan kapal terbang sambil mengibarkan bendera Palestin dan yang lain memeriksa pasport penumpang yang tiba. "Kami mendapat laporan bahawa sekarang, penunjuk perasaan cuba menterbalikkan kereta polis di lapangan terbang Makhachkala. “Polis dilaporkan melepaskan tembakan ke udara untuk cuba menyuraikan orang ramai,” kata Yulia Shapovalova daripada Al Jazeera yang melaporkan dari Moscow. ARTIKEL BERKAITAN: Tentera Netanyahu bergerak ke Gaza, konflik Israel dan Hamas masuk 'peringkat' kedua Dalam pada itu kelihatan juga penunjuk perasaan memegang plakad bertulis, "Pembunuh kanak-kanak tidak mempunyai tempat di Dagestan." Sementara itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada malam Ahad, pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mendesak agar Russia melindungi semua rakyatnya dan orang Yahudi selepas kumpulan orang ramai menyerbu lapangan terbang di Dagestan. “Israel mengharapkan pihak berkuasa Rusia untuk melindungi keselamatan semua rakyat Israel dan Yahudi di mana sahaja mereka berada dan bertindak tegas terhadap perusuh dan menentang hasutan liar,” katanya. Untuk rekod, Dagestan merupakan sebuah wilayah di Rusia yang dihuni penduduk beragama Islam. Terletak di Caucasus Utara, ia menempatkan kira-kira 3.2 juta populasi penduduk di pinggir barat Laut Caspian. -Al Jazeera Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube