SEORANG penyampai radio (deejay) di Filipina maut ditembak ketika sedang membuat siaran langsung di studio dalam kediamannya sendiri. Juan Jumalon atau lebih dikenali sebagai DJ Johnny Walker, 57, ditembak ketika sedang bersiaran langsung di Facebook pada kira-kira jam 5.30 pagi Ahad waktu tempatan, apabila suspek memasuki studionya dan melepaskan tembakan. Dilaporkan, Juan ditembak sebanyak dua kali oleh penyerangnya, yang berpura-pura menyamar sebagai seorang pendengar. Suspek turut merentap rantai emas daripada leher mangsa. "Suspek memasuki studio dan tanpa teragak-agak menembak muka mangsa yang menyebabkan kematiannya," kata polis dalam satu kenyataan. Suspek kemudian melarikan diri bersama seorang rakannya, yang menunggu di luar dengan motosikal. Isteri Juan bergegas membawanya ke hospital namun mangsa disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba. Presiden Filipina, Marcos Jr menerusi laman X mengutuk pembunuhan penyampai radio tersebut dan telah mengarahkan polis menjalankan siasatan menyeluruh untuk membawa pelaku ke muka pengadilan dengan segera. -Newyorkpost Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube