suria

Jadi jutawan sekelip mata! Pelajar terima RM4.8 juta, belanjakan selama 73 hari termasuk iPhone

Sibongile Mani menganggap ia sebagai 'wang ajaib' -Gambar Facebook

SEORANG pelajar secara tidak sengaja diberi geran sebanyak £850,000 (RM4.8 juta) dan menyangka ia adalah 'hadiah daripada Tuhan' sebelum memulakan perbelanjaan selama 73 hari.

Sibongile Mani, 32, biasanya menerima wang bantuan bersamaan £85 (RM489) sebulan untuk menyara dirinya dan membayar buku sepanjang kursus perakaunannya.

Namun, dia terkejut apabila melihat dia telah diberikan wang 10,000 kali ganda daripada biasa.

Mani, dari Afrika Selatan, menjadi jutawan dalam sekelip mata selepas 14 juta rands dimasukkan ke dalam akaun banknya pada 2017 – bersamaan £850,000 (RM4.8 juta).

Tetapi daripada mempersoalkan jumlah itu, Mani dengan cepat mula membelanjakannya dengan membeli iPhone model terbaharu untuk dirinya dan rakan-rakan serta mengubah gaya rambut.

Dia juga sering keluar malam ke kelab mewah dan membelanjakan sehingga £100 (RM575) setiap satu untuk minuman keras yang mahal.

Bagaimanapun, rakan-rakannya segera menyedari perubahan kelakuannya dan menjadi curiga.

Mani perlu menjalani khidmat masyarakat dan diarahkan untuk menjalani kursus kaunseling. -Gambar Facebook

Dia kemudian dilaporkan kepada skim bantuan sebelum ditangkap dan didakwa atas tuduhan mencuri dan penipuan sebelum dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas membelanjakan hampir £50,000 (RM288,000) pada masa itu.

Tetapi Mani membantah hukuman itu dan mengisytiharkan dia menganggap wang tunai berkenaan adalah 'wang ajaib'.

"Apa yang saya hadapi tidak adil sama sekali. Wang yang saya dapat dalam akaun saya ketika itu saya membelanjakannya tanpa berfikir dua kali. Saya fikir ia adalah wang ajaib.

"Kalaulah saya tahu pada masa itu ia akan berakhir seperti ini. Saya menulis ini dengan hati yang sedih. Saya akan tetap kuat sehingga saya meninggalkan penjara walaupun ia akan menjadi sukar," tulisnya di blog.

Peguamnya, Asanda Pakade, kemudian merayu atas alasan Mani bukan bahaya kepada masyarakat. Dia juga berkata pelajar tidak mencari wang itu dan dengan penjara yang sudah sesak, dia berhujah penjara tidak sesuai untuk anak guamnya.

Beliau menambah, Skim Bantuan Kewangan Pelajar Kebangsaan telah tersilap menghantar jumlah wang itu dan tidak menyedari wang tunai itu hilang sehingga ia dibawa kepada perhatian mereka.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi London Timur di Makhanda, dua hakim bersetuju untuk menggantung hukuman Mani selagi dia tidak melakukan kecurian atau penipuan semasa dibebaskan.

Dia juga diberitahu untuk melengkapkan khidmat masyarakat selama 14 minggu dan diarahkan untuk menjalani kursus kaunseling.

Bagaimanapun, dia dibenarkan menyimpan wang yang diterimanya. - Daily Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain